COVID-19

PKPP dilanjutkan mulai hari ini hingga 31 Mac 2021 - Ismail Sabri

01/01/2021 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan -- Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dilanjutkan lagi mulai hari ini hingga 31 Mac depan.

Bagaimanapun perintah itu tidak melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah serta lokaliti-lokaliti tertentu yang diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan melanjutkan PKPP itu berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati peningkatan ketara kes COVID-19 masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Perintah ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan. Peningkatan kes disumbangkan oleh pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja asing yang dijalankan secara besar-besaran dan juga akibat berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan, terutamanya di Lembah Klang dan beberapa negeri,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKPP hari ini.

PKPP yang dilaksanakan kerajaan sejak 10 Jun lalu dijadualkan tamat semalam.

Menurut Ismail Sabri, segala prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Aktiviti pelancongan adalah berdasarkan ketetapan yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini namun perlu mematuhi SOP yang ketat,” jelasnya.

Mengenai task force operasi pematuhan, beliau berkata Polis Diraja Malaysia menahan 347 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 337 dikenakan kompaun dan 10 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan (135), tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49),” katanya.

Bagi Op Benteng, seramai 31 lagi pendatang tanpa izin berjaya ditahan dan lima kenderaan darat dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilakukan semalam.

Berhubung pemeriksaan di tapak binaan pula, katanya sejak 20 April hingga semalam, sebanyak 14,124 jumlah pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,029 tapak pembinaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di 10 tapak pembinaan di seluruh negara dan kesemua tapak pembinaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” kata Ismail Sabri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan