COVID-19

TPM Thai jalani kuarantin selepas ahli mesyuarat positif COVID-19

28/12/2020 08:31 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK,  28 Dis -- Timbalan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul kini menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas seorang gabenor wilayah yang menghadiri mesyuarat bersamanya disahkan positif COVID-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Gabenor Samut Sakhon iaitu Weerasak Wijitsaengsri disahkan positif jangkitan itu hari ini. 

Provinsi Samut Sakhon merekodkan lonjakan kes COVID-19 sejak pertengahan bulan ini yang bermula daripada jangkitan di sebuah pasar makanan laut. 

Setakat ini lebih 1,300 kes COVID-19 dikaitkan dengan pasar itu dengan kebanyakan yang dijangkiti merupakan pekerja asing warga Myanmar.

Anutin yang juga Menteri Kesihatan Awam menghadiri mesyuarat di Hospital Samut Sakhon pada Ahad yang turut dihadiri gabenor berkenaan. 

Bagaimanapun Timbalan Menteri Kesihatan Awam Satit Pitutacha berkata keputusan ujian calitan Anutin ialah negatif.

“Beliau akan menjalani ujian kedua dalam tempoh  tiga hari lagi,” katanya pada satu sidang media.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Dr Opas Karnkawinpong berkata kesemua pegawai kanan yang menghadiri mesyuarat berkenaan serta mereka yang menyertai lawatan Anutin ke Samut Sakhon disahkan negatif.

Dalam tempoh 24 jam lepas,  Thailand melaporkan  144 jangkitan baharu COVID-19 termasuk 115 jangkitan tempatan, 14 daripada pengesanan kes aktif di Samut Sakhon serta 15 kes import.

Setakat ini, Thailand merekodkan 6,285 kes positif COVID-19 dengan 60 kematian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan