COVID-19

Solat fardu, Jumaat dibenar di Zon Hijau - JAIS

10/12/2020 11:35 PM

SHAH ALAM, 10 Dis -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat dijalankan mengikut kapisiti sebenar ruang solat dengan penjarakan fizikal 1.5 meter di daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor, mulai semalam.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata kebenaran itu melibatkan 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat serta 453 surau, di ketiga-tiga daerah berkenaan yang dikategorikan sebagai Zon Hijau.

“Program pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan bacaan Yassin juga dibenarkan dengan syarat penceramah dijemput dari Zon Hijau sahaja manakala kebenaran kehadiran jemaah solat Jumaat dan solat fardhu adalah untuk jemaah warganegara sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebenaran itu bagaimanapun tidak terpakai di Mukim Kuala Selangor yang melibatkan sebuah masjid, dua surau kebenaran Jumaat dan dua surau, berikutan perkembangan terkini penularan COVID-19 di mukim berkenaan.

“Arahan khusus telah dikeluarkan JAIS kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang terlibat untuk dikuatkuasakan serta merta,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata JAIS berharap agar seluruh umat Islam di Selangor meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh JAIS, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan