COVID-19

PKPD di tiga lokaliti di Bentong, Pahang bermula esok - Ismail Sabri

09/12/2020 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis  -- Tiga lokaliti di daerah Bentong, Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 23 Dis ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan itu ialah Ria Apartment, Amber Court Apartment dan rumah kongsi Kampung Semaut, berikutan 55 kes positif COVID-19 direkodkan di mukim tersebut.

“Majoriti (kes) melibatkan pekerja warga asing di lokaliti ini dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ketiga-tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat.

“PKPD di ketiga-tiga lokaliti ini akan melibatkan 4,351 penduduk,” katanya pada sidang media perkembangan berkaitan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah akan dilanjutkan selama 14 hari lagi dari 11 hingga 24 Dis ini, atas nasihat dan penilaian risiko KKM.

Lokaliti itu merekodkan 493 kes positif terkumpul daripada 8,186 saringan, manakala KKM mengesahkan terdapat baki 1,386 sampel saringan yang masih menunggu keputusan, katanya.

Ismail Sabri berkata PKPD di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah turut dilanjutkan dari 11 hingga 24 Dis melibatkan Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis dan Taman Seri Limau. 

Dalam pada itu Taman Sawi dikeluarkan daripada PKPD berikutan tiada kes positif direkodkan daripada taman perumahan tersebut, namun masih tertakluk di bawah PKP Bersyarat bagi daerah Kulim yang berkuat kuasa hingga 20 Dis, katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPB di Mukim Teja di daerah Kampar, Perak pada 10 Dis (esok) selepas hanya 41 kes dikesan daripada institusi Rumah Pengasih dan tiada kes dalam komuniti dilaporkan setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata saringan bersasar dan besar-besaran akan dibuat di Central Spectrum (Sektor A), Pulau Indah, Klang pada esok (10 Dis) melibatkan 45 syarikat dan 102 premis dengan seramai 1,200 penghuni, majoritinya bukan warga tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata 254 individu ditahan dan dikompaun semalam atas pelbagai kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP), antaranya tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal. 

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 28 pendatang  tanpa izin ditahan semalam, manakala satu bot/kapal dan tiga kenderaan darat dirampas dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan