BERITA COVID–19   Malaysia-Australia jalin kerjasama tangani impak COVID-19 | COVID: Jumlah kes baharu 3,680, tujuh lagi kematian - KP Kesihatan | JAIS benarkan Penolong Pendaftar Perkahwinan kendali akad nikah melalui sidang video | COVID-19: Thailand kerja keras sekat penularan COVID-19 di wilayah Samut Sakhon | Sindiket pemalsuan slip saringan COVID-19 didalangi warga Pakistan tumpas | 
COVID-19

PKPD Penjara Seremban, kuarters Penjara Seremban dilanjut hingga 21 Dis

07/12/2020 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis -- Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 21 Dis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penilaian risiko di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Sehingga 4 Dis lepas, KKM telah melaksanakan 1,582 ujian saringan dan sebanyak 964 kes positif COVID-19 telah direkodkan di penjara itu yang melibatkan tahanan dan kakitangan.

“KKM turut mengesahkan terdapat baki 185 sampel saringan melalui ujian saringan kedua yang masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dua kawasan itu dikenakan PKPD bermula 24 Nov lepas.

Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah pada hari ini seperti yang dijadualkan.

Kawasan itu mula dilaksanakan PKPD pada 10 Nov, yang kemudiannya dilanjutkan lagi hingga hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata sebanyak 487 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 470 individu dikompaun manakala 17 individu pula direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (205), aktiviti pusat hiburan (94), tidak memakai pelitup muka (77), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59) dan lain-lain (52).

Operasi Benteng semalam pula berjaya menahan 25 pendatang tanpa izin dan seorang tekong, katanya.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan