COVID-19

PKPD: Polis adakan sekatan jalan di flat Paya Terubong, Desa Bestari

06/12/2020 08:38 PM

GEORGE TOWN, 6 Dis -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan  menjalankan sekatan jalan di flat di Persiaran Paya Terubong, Relau serta Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban bermula 7 hingga 20 Dis ini selepas kawasan itu diisytiharkan sebagai zon merah dan diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata seramai 265 anggota polis dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan ditugaskan bagi memantau kawasan tersebut.

"Selain sekatan jalan raya, PDRM akan membina dan menempatkan pos pemeriksaan bagi memantau pergerakan setiap penduduk supaya tidak meninggalkan lokasi yang telah diisytiharkan (PKPD).    

“Bagi Mukim 13 yang disambung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu lagi, tiada sekatan daerah dan rentas negeri akan dijalankan. PDRM Timur Laut telah menubuhkan tiga pasukan pemantau khusus yang akan berada di kawasan Mukim 13 dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 10,000 penduduk di kawasan flat yang membabitkan 2,730 unit rumah akan terjejas susulan penutupan kedai runcit, dewan serbaguna, astaka dan surau manakala di Desa Bestari pula, seramai 2,000 penduduk yang membabitkan 520 unit rumah dijangka terjejas.

Mengulas laporan terdapat penduduk yang terdiri daripada warga asing khususnya di Desa Bistari melarikan diri dan meninggalkan kawasan itu selepas pengumuman berhubung perkara tersebut semalam, Soffian berkata polis sedia membantu Kementerian Kesihatan menjejaki individu terbabit.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan