COVID-19

Kempen khas My30 ditangguh

04/12/2020 10:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Kempen khas My30 oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang dijadualkan bermula Isnin ini telah ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Tourism Malaysia, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan penangguhan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa penularan wabak COVID-19 di sekitar Lembah Klang.

Ia berkata kerjasama di bawah pelan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0 itu bertujuan untuk menyemarakkan pelancongan domestik dengan menggunakan pengangkutan awam melalui rangkaian tren dan bas Rapid KL.

“Nantikan tawaran menarik dan berita lanjut berkenaan kempen khas My30 dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif My30 merupakan pas perjalanan tanpa had yang diperkenalkan dengan bayaran RM30 sebulan bagi pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu mengumumkan kerajaan akan meneruskan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 dan memperluaskannya ke Pulau Pinang serta Kuantan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan