COVID-19

Hockademy tak sertai LHM 2021 kerana COVID-19

29/11/2020 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov -- Hockademy mengambil keputusan untuk tidak menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021, yang dijadualkan dari 8 Jan hingga 28 Feb depan disebabkan ketidaktentuan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

Kelab tersebut menerusi kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh majlis tertinggi pengurusannya pada 15 Nov lalu, sekali gus menyaksikan skuad wanita Hockademy terlepas peluang mempertahankan kejuaraan LHM.

Menurutnya, pihaknya akan menghadapi kesukaran mengadakan sesi pemilihan dan latihan sekiranya menyertai liga, selain tempoh persiapan yang singkat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di Lembah Klang sehingga 6 Dis ini.

“Antara sebab lain ialah wujud kemungkinan PKPB akan disambung lagi sekali gus menimbulkan ketidaktentuan tarikh penganjuran LHM dan kemungkinan ia akan ditangguhkan. Kes COVID-19 masih mencatat bacaan empat angka sekali gus menimbulkan kebimbangan dan ancaman kesihatan ke atas pemain dan pegawai pasukan.

“Sukar untuk mendapatkan penajaan ketika rata-rata syarikat terjejas dan berdepan impak kewangan yang teruk sepanjang tahun ini. Apapun, pihak Hockademy mendoakan kelicinan penganjuran LHM 2021 buat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian,” menurut kenyataan itu.

Hockademy bagaimanapun berkata pihaknya bersedia untuk mengambil bahagian dalam Liga Hoki Remaja Malaysia 2021 tetapi bergantung kepada situasi pandemik ketika itu.

“Buat masa ini pihak Hockademy hanya ingin menumpukan kepada program pembangunan akar umbi kami yang dikenali sebagai Program Hocka Kids,” menurut kelab itu.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata Hockademy terlepas peluang menyertai LHM 2021 kerana gagal mengesahkan penyertaan selepas tarikh tutup pendaftaran tamat pada 19 Nov lalu.

Kelab yang dimiliki Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin itu, mencipta sejarah apabila muncul juara liga pada penampilan sulung dalam kategori wanita, manakala skuad lelaki pula menamatkan saingan di kedudukan keenam daripada lapan pasukan liga.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan