KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 176 daripada 476 kes COVID-19 yang direkodkan di Sabah Sabtu berpunca daripada empat kluster baharu yang dikenal pasti di negeri itu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19, berkata empat kluster baharu itu ialah Kluster PTS Sibuga, Kluster Tapak Bina Jesselton, Kluster Dermaga dan Kluster Tempasuk.
Kluster PTS Sibuga di Sandakan mencatat 99 kes positif COVID-19 diikuti Kluster Tapak Bina Jesselton di Kota Kinabalu (53 kes), Kluster Dermaga di Sandakan (17) dan Kluster Tempasuk di Kota Belud (tujuh), menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini
Beliau berkata penambahan sebanyak 476 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif di Sabah setakat ini ialah 28,155.
“Empat kes kematian dilaporkan melibatkan dua kes di daerah Sandakan dan masing-masing satu kes di daerah Tawau danTuaran,” katanya.
Masidi berkata seramai 274 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh di Sabah setakat ini ialah 24,793 orang.
“Sejumlah 2,094 pesakit sedang menerima rawatan dengan 669 di hospital dan 1,425 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) manakala 70 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 19 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
-- BERNAMA
© 2021 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan