COVID-19

Hospital Kluang diaktifkan semula sebagai hospital COVID-19

28/11/2020 04:55 PM

JOHOR BAHRU, 28 Nov -- Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang dekat sini diaktifkan semula sebagai hospital COVID-19 bermula Rabu lepas (25 Nov).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata pengaktifan semula itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tongkang Pecah, Batu Pahat yang  berkuat kuasa esok hingga 13 Dis, melibatkan kira-kira 16,300 penduduk.

“HEBHK dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 sahaja kecuali kes kecemasan membabitkan perkhidmatan haemodialisis bagi pesakit sedia ada, radiologi untuk pemeriksaan ultrasound atau CT Scan, perubatan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma dan perkhidmatan pesakit luar dan klinik pakar di lokasi sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Vidyananthan berkata perkhidmatan rawatan harian untuk talasemia pula dipindahkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail,  Batu Pahat, manakala pembedahan elektif serta perkhidmatan klinik selepas waktu pejabat ditangguhkan.

Beliau berkata selaras dengan perubahan itu, semua kemasukan baharu pesakit bukan COVID-19  ke HEBHK dihentikan kecuali kes bersalin kecemasan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata pelaksanaan PKPB di Tongkang Pecah adalah berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan selepas kawasan berkenaan merekodkan 56 kes positif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan