BERITA COVID–19   Garis panduan ketat bendung COVID semasa PRN Sarawak | COVID: Kes cecah empat angka di N.Sembilan susulan saringan bersasar | Sembilan rumah panjang di Matu, Sarawak dikenakan PKPD | Sembilan rumah panjang di Matu, Sarawak dikenakan PKPD | COVID-19: Dua kluster baru babit pusat jagaan warga emas di Sarawak | 
COVID-19

Lebih 400 koperasi kredit terjejas akibat pandemik COVID-19

28/11/2020 04:53 PM

SEREMBAN, 28 Nov -- Lebih 400 daripada keseluruhan 600 koperasi kredit di seluruh negara yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak Mac lepas.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata keadaan itu menyebabkan perolehan koperasi terbabit merosot kira-kira 30 peratus berikutan pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan yang berakhir pada 30 Sept lepas.

Beliau berkata pendapatan koperasi terjejas apabila peminjam tidak membayar balik pinjaman kepada kebanyakan koperasi yang melaksanakan moratorium.

“Sebagai contoh, kita sepatutnya mampu mendapat perolehan RM1.2 bilion sebulan namun kerana moratorium dilaksanakan mulai April, kita hanya dapat kutipan pinjaman RM300 juta sebulan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bersempena program CoopCare Angkasa di sini hari ini.

Katanya bagaimanapun, sektor koperasi masih relevan dalam apa jua keadaan kerana pengurusan agensi itu boleh menukar strategi perniagaan mengikut kesesuaian berbanding sektor pensyarikatan memandangkan pengurusan dan polisi koperasi ditentukan sendiri oleh ahli.

Abdul Fattah berkata Angkasa akan terus komited dalam usaha mencapai sasaran sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah RM100 bilion menjelang 2030.

“Menurut statistik SKM, sehingga 31 Dis tahun lepas, gerakan koperasi telah mencapai perolehan sebanyak RM45.8 bilion, ia bukan sesuatu yang mustahil dengan syarat ekosistem bagi koperasi menjalankan perniagaan mestilah baik,” katanya.

Beliau berkata koperasi perlu diiktiraf dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana supaya segala dana dan bantuan yang diperuntukkan kerajaan turut dapat dinikmati oleh agensi itu.

Terdahulu, Abdul Fattah menyampaikan sumbangan kepada 70 ahli koperasi dan penduduk Kampung Kuala Sawah dekat sini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, tanda keprihatinan Angkasa sebagai badan induk gerakan koperasi negara.

Beliau turut menyarankan 14,625 koperasi di seluruh Malaysia terutama yang berasaskan komuniti agar bergerak aktif dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. 

“Kita mahu koperasi berasaskan komuniti menjadi satu barisan hadapan berkesan supaya peranannya dirasai dan pada masa sama, dapat menarik lebih ramai penyertaan masyarakat dalam gerakan koperasi,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan