COVID-19

Rekod baharu kes sembuh harian COVID-19 catat 2,555 kes

26/11/2020 08:17 PM

PUTRAJAYA, 26 Nov  -- Malaysia mencatatkan rekod tertinggi baharu kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 hari ini, dengan 2,555 kes sembuh direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh COVID-19 sepenuhnya adalah sebanyak 49,056 kes atau 80.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Semalam, Malaysia mencatatkan rekod tertinggi kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 dengan catatan 2,348 kes sembuh.

Dr Noor Hisham berkata kes baharu harian COVID-19 yang dicatatkan pada hari ini adalah sebanyak 935 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 60,752 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, empat merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 931 kes ialah penularan dalam negara. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 11,348 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata Sabah mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 326 kes (34.9 peratus), diikuti Selangor dengan 161 kes atau 17.2 peratus dan Negeri Sembilan yang merekodkan 158 kes atau 16.9 peratus.

Dr Noor Hisham berkata Pahang, Melaka dan Perlis tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini.

Menurutnya sehingga kini terdapat 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata terdapat tiga pertambahan kes kematian COVID-19 hari ini, ketiga-tiganya melibatkan pesakit di Sabah; menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 348 kes (0.57 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia melibatkan kematian seorang wanita berumur 70 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, serta seorang lelaki berumur 59 tahun dengan rekod menghidap darah tinggi serta asma yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

Seorang lagi wanita berumur 77 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi, meninggal dunia di Hospital Tawau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan