COVID-19

Rakyat Kelantan diminta patuh PKPB - Mohd Amar

20/11/2020 07:27 PM

KOTA BHARU, 20 Nov -- Rakyat Kelantan diminta bertenang dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, apabila negeri ini diumum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula esok sehingga 6 Dis depan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata rakyat perlu bekerjasama dengan semua pihak, bagi memastikan negeri ini bebas daripada wabak COVID-19.

“Saya kira apa yang diputuskan kerajaan ini adalah yang terbaik selepas kenaikan mendadak kes COVID-19 di negeri ini dan saya minta semua rakyat benar-benar patuh SOP yang dikeluarkan, demi kebaikan kita bersama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kelantan menjadi negeri terbaru yang dikenakan PKPB, bermula esok sehingga 6 Dis ini ekoran peningkatan kes baharu pandemik COVID-19 di negeri ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan kementerian itu menjalankan saringan secara bersasar, serta mengurangkan pergerakan penduduk termasuk rentas negeri dan daerah.

Mengulas perkara itu lagi Mohd Amar berkata, kerajaan negeri akan melihat kembali beberapa program yang dirancang, sama ada perlu diteruskan atau sebaliknya.

“Kita akan melihat jika bercanggah dengan SOP, kita tidak akan benarkan (program diadakan),” katanya.

Mengenai sebarang aktiviti agama termasuk jumlah solat di masjid atau surau, beliau berkata perkara itu nanti akan ditentukan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan