BERITA COVID–19   Malaysia-Australia jalin kerjasama tangani impak COVID-19 | COVID: Jumlah kes baharu 3,680, tujuh lagi kematian - KP Kesihatan | JAIS benarkan Penolong Pendaftar Perkahwinan kendali akad nikah melalui sidang video | COVID-19: Thailand kerja keras sekat penularan COVID-19 di wilayah Samut Sakhon | Sindiket pemalsuan slip saringan COVID-19 didalangi warga Pakistan tumpas | 
COVID-19

KP Kesihatan jelaskan isu dua gambar tular libatkan pekerja warga asing

17/11/2020 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov  -- Dua gambar menunjukkan pekerja warga asing masih berada di kawasan pembinaan dengan memakai gelang merah jambu yang tular baru-baru ini sebenarnya adalah pekerja yang melalui saringan pengawasan COVID-19 di tapak binaan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan individu-individu terbabit diberikan gelang merah jambu bagi mengelakkan mereka daripada keluar dari tapak binaan. 

"Tetapi mereka masih boleh bergerak di dalam tapak binaan kerana ianya saringan pengawasan bukan saringan kontak rapat. Pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak binaan.

Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari," katanya dalam catatan yang dimuat naik dalam akaun laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seramai 264 daripada 273 orang yang telah disaring adalah melalui saringan pengawasan tapak binaan dan mereka berada di dalam kawasan pembinaan berkenaan.

Selain itu Dr Noor Hisham memberitahu pemaju terbabit juga dinasihatkan untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi.

Katanya lagi, pada 13 Nov hingga 15 Nov lepas, pemaju berkenaan telah memberhentikan operasi sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan nyah cemar sehingga keputusan saringan diperoleh pada 15 Nov.

"Release order (perintah pelepasan) dan pemotongan gelang merah jambu telah dilakukan pada 15 Nov 2020, jam 11am (pagi) di tapak bina berkenaan. Hasil saringan terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak binaan, tetapi menetap di luar tapak binaan,” katanya.

Beliau memberitahu terdapat lapan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 terbabit yang masih menjalani tempoh kuarantin iaitu dari 7 Nov hingga 20 Nov, sementara kesemua pekerja lain yang dikesan negatif diberikan (perintah) pelepasan pada 15 Nov.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan