COVID-19

Lebih banyak perniagaan didaftarkan berbanding ditutup pada tempoh Mac-Okt - Wan Junaidi

16/11/2020 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov -- Bilangan perniagaan baharu yang didaftarkan antara tempoh Mac dan Oktober tahun ini jauh mengatasi jumlah entiti perniagaan yang menutup operasi mereka semasa tempoh tersebut meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebanyak 281,781 perniagaan baharu didaftarkan manakala 31,190 entiti perniagaan memfailkan untuk menutup perniagaan semasa tempoh itu, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“SSM juga mengambil inisiatif untuk membatalkan syarikat yang tidak aktif dengan menghantar notis di bawah seksyen 551 Akta Syarikat 2016 kepada 35,944 syarikat,” katanya dalam satu kenyataan sebagai respons kepada artikel bertarikh 11 Nov yang dikeluarkan akhbar harian The Sun bertajuk “100,000 SME put out of business” (100,000 PKS tutup perniagaan).

Laporan itu memetik Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang sebagai berkata kira-kira 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin ditutup sejak PKP dilaksanakan pada Mac, yang melebihi daripada angka ditunjukkan oleh data rasmi.  

Memetik data SSM, Wan Junaidi berkata sebahagian besar daripada entiti perniagaan yang baru didaftarkan pada tempoh Mac-Oktober terdiri daripada pemilik tunggal dan perkongsian (89.3 peratus), diikuti syarikat (9.8 peratus) dan perkongsian liabiliti terhad (0.8 peratus).

Beliau juga memetik kaji selidik mengenai COVID-19 pada Mei dan Ogos tahun ini yang dijalankan masing-masing oleh SME Corporation Malaysia dan kementeriannya, menunjukkan peratusan perniagaan yang menutup operasi agak rendah sedikit pada Ogos pada 1.4 peratus berbanding 1.6 peratus pada Mei.

Menurutnya, PKS membentuk 98.5 peratus (907,065) daripada perniagaan di Malaysia dan kerajaan amat menyedari keperluan mempunyai rangka kerja kukuh bagi pembangunan PKS untuk menghasilkan keputusan optimum daripada pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi. 

Ini, katanya, dicerminkan menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK) yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan.  

Wan Junaidi berkata sejumlah 211 program keusahawanan dan pembangunan PKS sedang dilaksanakan tahun ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM12.9 bilion, seperti yang dilaporkan oleh 17 kementerian dan lebih 60 agensi.

“PKS perlu memanfaatkan pendekatan perundingan ini untuk menyampaikan hasrat keperluan mereka secara munasabah. Setiap pihak perlu memikul peranan mereka dengan baik untuk memulihkan ekonomi dalam tempoh sesingkat yang mungkin,” katanya.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan