COVID-19

Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf kepada KP Kesihatan

15/11/2020 08:04 PM

KUCHING, 15 Nov -- Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing hari ini memohon maaf kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah susulan keterlanjuran kata beliau ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen, baru-baru ini.

"Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat yang lancar dan demi kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata saya ketika perbahasan Belanjawan 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau langsung tidak terdetik untuk menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, frontliners (barisan hadapan) termasuk Ketua Pengarah Kesihatan. 

"Saya hanya berniat untuk membahas soal COVID-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. 

"Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu," tambah beliau.

Tiong dikecam hebat susulan ucapan perbahasannya Rabu lalu apabila beliau mempersoalkan sama ada Dr Noor Hisham takut untuk mati akibat COVID-19 kerana mengelak daripada turun padang mengikuti pembanterasan pandemik COVID-19 di Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan