COVID-19

Krisis COVID-19, ASEAN+3 perlu kekalkan pasaran terbuka

14/11/2020 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Malaysia meminta ASEAN Campur Tiga - China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN+3) kekal komited memastikan pasaran terbuka dan mengekalkan aliran dagangan, perkhidmatan dan pelaburan terus normal ketika krisis COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN+3 (APT) berkata pasaran perlu kekal terbuka bagi mengukuhkan ketahanan ekonomi serantau tanpa sekatan yang tidak diperlukan terhadap perdagangan atau mencetuskan gangguan rantaian bekalan global.

"Ketika kita mesti terus mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang yang mempunyai manfaat bersama, fokus kita sekarang seharusnya tertumpu kepada tugas mendesak iaitu memerangi COVID-19.

“Malaysia juga berharap dengan pemeteraian dan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menghantar isyarat kukuh mengenai kepentingan mengukuhkan intergrasi dan menyemarakkan lagi pertumbuhan ekonomi serantau," katanya.

APT ke-23 diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan dipengerusikan Vietnam, dianjurkan secara dalam talian ekoran penularan wabak  COVID-19.

Ia turut disertai secara maya oleh Perdana Menteri China Li Keqiang; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In.

Muhyiddin turut menegaskan kepentingan mengukuhkan kerjasama dalam menggunakan program Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3 (APTERR) bagi memastikan jaminan keselamatan makanan.

Kerjasama dalam APTERR ini kata Perdana Menteri, akan membantu memastikan bekalan makanan berterusan kepada rakyat yang terjejas teruk akibat kelembapan ekonomi ketika ini yang berpunca daripada COVID-19.

"Ketika kita bersama-sama berdepan dengan cabaran dan waktu sukar ini, amat penting ASEAN dan tiga negara ini terus mengukuhkan kerjasama serta saling menyokong antara satu sama lain," katanya.

Kerjasama APT dibentuk ekoran krisis ekonomi Asia pada 1997. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan