COVID-19

ASEAN-AS perlu tingkat kerjasama R&D vaksin - Hishammuddin

14/11/2020 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov -- ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) perlu tingkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin serta ubat antivirus memandangkan keperluan itu kini kian mendesak, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN kelapan pada Sabtu berkata pembangunan vaksin sangat penting untuk memastikan "kelebihan ekonomi yang kita peroleh tidak mengorbankan kesihatan masyarakat awam."

Beliau mengulangi pendirian Malaysia bahawa vaksin yang dihasilkan perlulah selamat digunakan, berpatutan, mudah didapati dan mampu dimiliki semua. 

"Persaingan tidak adil dan memonopoli barang-barang penting perlu dielakkan walau dengan apa cara sekali pun," katanya pada sidang kemuncak itu yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

AS diwakili Penasihat Keselamatan Negara Robert C. O'Brien.

Mengenai isu Laut China Selatan, Hishammuddin berkata penting keadaan tenang, aman, selamat dan stabil wujud di zon maritim berkenaan di samping menghindari unsur-unsur yang boleh menggugat usaha ke arah itu. 

Malaysia, tambahnya teguh dengan pendirian bahawa isu itu mesti diselesaikan sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diterima sejagat, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia tetap komited untuk menangani ancaman keganasan dan ekstremisme yang ganas dengan mengatasinya di peringkat akar umbi,  memperkukuh dasar, kerangka undang-undang dan penguatkuasaan.

Mengenai situasi di Semenanjung Korea, beliau berkata Malaysia terus konsisten dalam tiga perkara - Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear, kepatuhan terhadap Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang relevan dan menyambung semula dialog antara pihak-pihak berkaitan. 

Hubungan AS dengan ASEAN sebagai rakan dialog terjalin sejak 1977.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan