COVID-19

Pematuhan SOP, norma baharu jadi keutamaan PPS banjir di Pahang

13/11/2020 08:22 PM

KUANTAN, 13 Nov -- Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam persekitaran norma baharu menjadi keutamaan di semua 647 lokasi di Pahang yang telah dikenal pasti akan dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diperlukan nanti, bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 berlaku sepanjang musim tengkujuh.

Ketua Polis negeri Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata langkah mencegah penularan itu akan bermula sebelum PPS beroperasi melalui proses sanitasi, penyediaan ruang isolasi dan jarak tiga meter antara setiap kubikel yang menempatkan sebuah keluarga. 

Sementara pematuhan SOP seperti proses saringan suhu dan gejala, penjarakan fizikal, pemberian pelitup muka dan pengagihan makanan yang sudah dimasak secara bungkus akan diaktifkan sebaik sahaja PPS mula menerima mangsa banjir. 

"Mangsa banjir yang mempunyai gejala dan disyaki berisiko dijangkiti COVID-19 akan dirujuk kepada klinik kesihatan bagi ujian PCR Covid-19 dan jika positif, terus dihantar ke hospital yang mengendalikan pesakit wabak itu. 

"Mereka yang bergejala namun tidak berisiko, individu dalam siasatan (PUI) atau individu dalam pemantauan (PUS) akan diasingkan di ruangan isolasi yang diwujudkan di PPS tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Pahang 2020/2021 kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Abd Jalil berkata semua 647 PPS yang terdiri daripada sekolah, dewan orang ramai, masjid dan surau, balai raya serta pusat komuniti itu dianggarkan boleh memuatkan 153,020 mangsa banjir, dan menurutnya setakat ini 652 kawasan di seluruh Pahang telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.

Katanya 7,263 pegawai dan anggota agensi berkaitan akan bertugas pada musim tengkujuh tahun ini, yang turut melibatkan penggunaan 448 kenderaan darat dan 198 pengangkutan air. 

Selain itu katanya 246 lokasi pendaratan helikopter dikenal pasti sebagai persediaan untuk operasi menyelamat atau menghantar bekalan makanan jika laluan darat terputus, memandangkan 187 jalan utama dilihat berisiko ditenggelami air di musim tengkujuh nanti. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan