BERITA COVID–19   Kes COVID-19, India sekali lagi catat rekod dunia | PKRC Gelanggang Seni dilengkapi ciri khas rawat pesakit COVID-19 | N.Sembilan benar solat Aidilfitri ikut kapasiti masjid | Tuanku Muhriz nasihat rakyat N. Sembilan rai Aidilfitri¬†secara sederhana¬† | PKPB: Sabah tidak benarkan rentas daerah mulai Isnin depan | 
COVID-19

ASEAN, China wajar manfaatkan sepenuhnya ekonomi digital pasca-COVID-19

12/11/2020 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov -- ASEAN dan China wajar memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi digital sebagai sebahagian usaha membina wilayah ekonomi lebih kuat pasca-COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-23 pada Khamis.

Muhyiddin berkata peningkatan penggunaan transaksi dalam talian semasa pandemik menunjukkan ekonomi digital dapat memainkan peranan penting menghidupkan kembali ekonomi negara di rantau ini, seperti menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan baharu dan mendorong pertumbuhan serta kelestarian perniagaan, terutama untuk perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menurut beliau dengan kadar pertumbuhan global yang dijangka akan perlahan pada sekitar 3.5 peratus antara 2021 dan 2025, ASEAN dan China harus menggandakan usaha untuk memastikan kegiatan ekonomi terus kekal, dengan fokus kepada mempromosi perdagangan dan pelaburan serta memelihara rantaian bekalan serantau dan global.

Dalam hal ini katanya, Malaysia menyambut baik pemeteraian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Mengenai vaksin dan pembangunan COVID-19 pula beliau mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan sokongan China bagi inisiatif ASEAN untuk kecemasan kesihatan awam.

"Kami menantikan penyelesaian klinikal vaksin secepatnya, dan menghargai ikrar Presiden (China) Xi Jinping untuk menjadikan vaksin itu sebagai "keperluan awam global ".

Perdana Menteri juga menekankan untuk membolehkan ekonomi terus berkembang, keyakinan dan kestabilan dalam bidang keselamatan politik menjadi lebih penting pada situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Justeru, beliau mengulangi  isu Laut China Selatan harus diselesaikan secara aman dan rasional melalui dialog serta rundingan, menggunakan saluran forum dan diplomatik sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Muhyiddin juga menegaskan kembali komitmen penuh Malaysia untuk pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) dan penyempurnaan Tatakelakuan Pihak-pihak di Laut China Selatan (COC)

Pada masa depan, Perdana Menteri juga berharap ASEAN dan China terus bekerja sama dan berusaha menjaga hubungan erat dalam semua bidang kerjasama.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan