GEORGE TOWN, 12 Nov -- Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menimbang untuk membuka semula lima taman rekreasi di negeri itu jika keadaan COVID-19 semakin terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo berkata buat masa ini, enam dari 178 taman di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ditutup.
Menurutnya enam taman yang ditutup buat sementara waktu adalah taman terbuka dan taman rekreasi di Taman Jepun, Jalan Gangsa, Lorong Delima 11, Lorong Delima 9, Solok Tembaga, serta taman permainan di Padang Kota Lama.
"Kami akan terus memantau dan jika situasi ketika ini dilihat wajar, maka kami akan menimbang keputusan (untuk membuka kembali taman).
"Tetapi walaupun kita membuka semula taman, orang ramai harus berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam sidang media di Dewan Bandaraya Pulau Pinang di sini hari ini.
Terdahulu, Jagdeep dan MBPP mengedarkan sumbangan barangan makanan kepada 570 petugas barisan hadapan negeri sempena perayaan Deepavali.
Sementara itu Datuk Bandar MBPP dalam sidang media sama berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat dan meminta nasihat daripada jabatan kesihatan negeri jika taman rekreasi di Taman Jepun dapat dibuka semula.
“Selain itu bagi empat lagi taman rekreasi (kecuali taman permainan Padang Kota Lama), kita perlu memastikan keadaan lebih terkawal sebelum membukanya kembali," tambahnya.
-- BERNAMA
© 2021 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan