COVID-19

PKPB penting untuk ekonomi dan kesihatan awam jangka panjang - KM Pulau Pinang

07/11/2020 09:13 PM

GEORGE TOWN, 7 Nov  -- Langkah Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 9 Nov hingga 6 Dis adalah penting bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kesihatan awam negara untuk tempoh jangka panjang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sebelum ini, kerajaan negeri telah merancang mengadakan perbincangan akademik bagi mengenal pasti kaedah lebih efektif dalam memerangi peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

“Kerajaan negeri telah dimaklumkan mengenai keputusan itu (PKPB) pada lewat petang ini dan akan mengadakan mesyuarat pada Isnin bagi meneliti persiapan pelbagai agensi dalam usaha membantu pelaksanaan PKPB di seluruh Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sempena sambutan perayaan Deepavali kepada 100 penerima di sini hari ini.

Beliau berkata apabila terdapat kes dilaporkan dalam komuniti, perkara itu amat membimbangkan kerana virus tersebut mudah berjangkit dan situasi itu mewajarkan pelaksanaan PKPB dan menambah bahawa berdasarkan saiz pandemik COVID-19, keputusan itu adalah tepat dalam usaha mengimbangi kepentingan nyawa dan kelangsungan hidup.

Ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2021, Chow berkata pertimbangan terhadap senario secara keseluruhan menunjukkan bahawa kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat memerlukan perhatian segera.

“Jika belanjawan itu boleh merangsang pertumbuhan ekonomi sudah tentu kita akan menyambut baik namun keutamaan ketika ini ialah memastikan pekerjaan boleh dikekalkan selain kebajikan rakyat dilindungi,” katanya.

Beliau juga meminta peranan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dipertimbangkan semula bagi mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia dan tidak diwujudkan demi menjaga kepentingan pihak tertentu.

Susulan peningkatan kes COVID-19, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa PKPB akan dikuatkuasakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu mulai hari ini.

Pelaksanaan PKPB di kawasan yang sedia ada akan dilanjutkan selama empat minggu lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan