COVID-19

Penularan COVID-19 di Penjara Alor Setar semakin terkawal

28/10/2020 09:56 PM

ALOR SETAR, 28 Okt -- Penularan COVID-19 di Penjara Alor Setar, di sini semakin terkawal dan waris kepada tahanan diminta bertenang dan tidak bimbang kerana wabak di pusat tahanan itu dijangka berakhir tidak lama lagi.

Pengarah Penjara Alor Setar, Raja Mohd Amazon Raja Daud berkata usaha berterusan dari pelbagai pihak khususnya petugas Kementerian Kesihatan berjaya membendung penularan wabak itu, yang telah mencetuskan Kluster Tembok sejak bulan lalu.

“Saya bersyukur kerana ramai pihak yang prihatin dengan keadaan keluarga petugas penjara dan tahanan yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah dilanjutkan sehingga 1 Nov ini.

“Alhamdulilah keadaan kini terkawal. Semua pihak termasuk kerajaan negeri, Jabatan Penjara Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) banyak membantu, oleh itu ahli keluarga di luar sana tidak perlu risau dengan keadaan di sini kerana semuanya terkawal dan kita berada di penghujungnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Muassadah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di hadapan pos pengawal Penjara Alor Setar, di sini, hari ini.

Pada program tersebut, YADIM menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Tuan Kamarul Arief Tuan Soh menyampaikan bantuan berupa pek keperluan makanan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad untuk diagihkan kepada mereka berada di dalam PKPD Penjara Alor Setar.

Dalam pada itu, Raja Mohd Amazon juga menjelaskan semua keperluan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), cecair pembasmi kuman dan pelitup muka masih mencukupi untuk petugas penjara dan tahanan.

Sementara itu, Tuan Kamarul Arief berkata YADIM kini dalam misi membantu penduduk yang terjejas dengan COVID-19 terutama di kawasan yang dikenakan PKPD bagi meringankan beban mereka.

“Hari ini sebanyak 600 pek barangan makanan diagihkan kepada keluarga petugas Penjara Pokok Sena, Penjara Alor Setar dan Penjara Sungai Petani dengan kos keseluruhan sebanyak RM30,000. Kami juga dimaklumkan Penjara Pokok Sena kekurangan peralatan PPE, pelitup muka dan cecair sanitasi, jadi kami akan sumbangkan nanti,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan