COVID-19

COVID-19: Masjid, surau di P. Pinang disaran ringkaskan aktiviti keagamaan

22/10/2020 10:18 PM

BUTTERWORTH, 22 Okt  -- Aktiviti keagamaan di masjid dan surau di Pulau Pinang disaran diringkaskan bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah dan ahli kariah, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti, berkata kerajaan negeri kini sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) berhubung kehadiran jemaah ke masjid dan surau.

"Kerajaan negeri sedang memikirkan untuk meningkatkan SOP sedia ada malah kebenaran untuk hadir ke masjid mungkin kita akan pendekkan waktu berjemaah iaitu dengan memendekkan atau meringkaskan (sebarang bentuk aktiviti)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama guru dan penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada keperluan untuk menutup masjid dan surau di negeri itu kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin mengumumkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah mengagihkan sebanyak RM3.015 juta elaun tambahan kepada guru yang terlibat dalam program KAFA di negeri itu.

“Peruntukan yang disediakan ZPP adalah melalui dana bantuan agihan fi sabilillah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan