COVID-19

COVID-19: 'Laluan haram' kluster Saguking Labuan ditutup

21/10/2020 10:46 PM

LABUAN, 21 Okt -- Semua laluan haram, masuk dan keluar dari dua kampung setinggan atas air Saguking Laut dan Sebor Baru, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dikenal pasti dan ditutup dengan kawat berduri.

Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata laluan haram itu termasuk kawasan perairan ke arah laut terbuka dan di darat.

Memandangkan hari ini adalah hari pertama kedua-dua penempatan ini di bawah PKPD, kami telah mengerahkan anggota yang mencukupi untuk siap siaga di tiga pos kawalan polis yang digunakan orang ramai untuk memasuki penempatan berkenaan.

“Kami juga mengenal pasti dan menutup laluan haram yang digunakan oleh orang tertentu di penempatan itu untuk ke laut dan bahagian lain berhampiran pusat bandar,” katanya kepada pemberita selepas memantau situasi di pintu masuk utama ke penempatan berkenaan berhampiran Bangunan Komersial Saguking, di sini hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKPD di Saguking Laut dan Sebor Baru di Labuan dari 21 Okt hingga 3 Nov.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD selama 14 hari itu bertujuan mengawal pergerakan penduduk di dua penempatan berkenaan dan bagi memudahkan saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Saringan itu akan melibatkan 8,602 orang dan mereka juga diarahkan untuk mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan memakai gelang tangan pengawasan.

Sementara itu, Muhamad Farid menasihatkan penduduk setempat agar tidak panik dan bimbang mengenai arahan PKPD di penempatan itu.

“Kami mempunyai anggota yang mencukupi untuk mengawal perkampungan ini...kami tidak benarkan sesiapa pun untuk memasuki atau keluar dari sini. Anggota kami akan bertugas 24 jam di tiga pos kawalan,” katanya.

Mengenai kehadiran pendatang tanpa izin di penempatan itu, Muhamad Farid berkata usaha berterusan oleh agensi penguat kuasa tempatan untuk menyelesaikan masalah itu akan diteruskan dan bukan sahaja semasa langkah sekatan pergerakan.

Labuan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 31 Okt dengan 160 kes positif dilaporkan semalam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan