COVID-19

COVID-19: Ubat Remdesivir, Hydroxychloroquine tidak berkesan untuk rawatan

20/10/2020 01:41 PM

PUTRAJAYA, 19 Okt  -- Penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit COVID-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Solidarity trial’ turut membuktikan ubat anti malaria hydroxychloroquine, serta ‘lopinavir’ dan ‘ritonavir’, tidak berkesan dalam merawat pandemik itu. 

“Jadi kita dapat simpulkan, remdesivir tak berkesan untuk kita merawat pesakit-pesakit COVID-19, dari tiga sudut iaitu kematian, kemasukan ke hospital atau keperluan bantuan pernafasan.

“Dulu kita tiada bukti yang kukuh, tapi hari ini kita sudah ada kajian. Bukan hanya di Malaysia tapi ia juga melibatkan negara yang di bawah payung WHO,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 hari ini.

Sebelum ini, kesemua ubat tersebut (remdesivir, hydroxychloroquine, lopinavir dan ritonavir) digunakan bagi rawatan pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata ubat antivirus dexamethasone, iaitu ubat menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif terhadap kesihatan pesakit.

Beliau berkata kajian klinikal tersebut, melibatkan pesakit COVID-19 dari 30 negara termasuk Malaysia.

Mengenai perolehan vaksin, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melihat kepada data maklumat keberkesanan vaksin, serta mengkaji kesan sampingan sebelum mengesyorkan penggunaannya kepada rakyat negara ini.

“Kita perlu lihat keberkesanan vaksin dan komplikasinya, kerana kalau komplikasi tinggi... kita ada isu untuk gunakan vaksin tersebut, kerana keselamatan adalah amat penting untuk KKM,” katanya.

Mengulas penglibatan Malaysia dalam COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX) dalam membangunkan vaksin, Dr Noor Hisham berkata KKM bersetuju untuk berada dalam kumpulan ini, kerana Malaysia dapat berbincang dengan syarikat dan negara untuk perolehan vaksin. 

Menerusi COVAX katanya, Malaysia bebas mengadakan perbincangan dengan negara atau syarikat pengeluar vaksin.

“Selain itu, ada beberapa isu perlu diperhalusi dalam perolehan vaksin iaitu kenapa vaksin masih belum ada (wujud), tetapi harganya telah ditetapkan. Sekiranya berlaku komplikasi penggunaan vaksin, KKM perlu menanggungnya dan bukannya syarikat (pengeluar vaksin),” katanya menambah isu ini perlu diperhalusi lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan