BERITA COVID–19   Kadar vaksinasi harian melebihi 500,000 dos tiga hari berturut-turut- Dr Adham | Loji pengisian oksigen di PKRC MAEPS pastikan bekalan oksigen stabil | Isu sosial ekonomi rakyat, topik penting Dewan Rakyat hari Khamis | Majikan dinasihat hantar pekerja terima vaksin COVID-19 di PPV KLCC ikut waktu janji temu | 10 varian Delta dikesan dalam tempoh seminggu - Dr Noor Hisham | 
COVID-19

Seorang pegawai penjara Seberang Perai positif COVID-19

18/10/2020 05:36 PM

GEORGE TOWN, 18 Okt -- Seorang pegawai penjara di Penjara Seberang Perai, di Jawi dekat sini disahkan positif COVID-19 semalam, kata Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed.

Tanpa mendedahkan umur dan jantina, Roslan berkata, pegawai itu merupakan antara 26 orang daripada Kluster Penjara Jawi yang ujian saringan COVID-19 disahkan positif semalam, dan beliau kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

“Ini adalah kes pertama membabitkan pegawai penjara, selepas 53 banduan di situ (Penjara Seberang Perai) positif COVID-19. Sebaik keputusan ujian saringan diterima, pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan terhadap kontak rapat pegawai terbabit, dan kami masih menunggu keputusan mereka.

“Pihak penjara ketika ini sentiasa memantau perkembangan terkini dengan teliti dan setakat ini kami belum tahu bagaimana pegawai berkenaan mendapat jangkitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan berkata semua 25 banduan yang disahkan positif COVID-19 semalam adalah banduan yang sedang menjalani hukuman dan mereka yang juga baharu masuk bulan lepas ditempatkan di blok bersama penghuni baharu yang juga positif penyakit itu sebelum ini.

Beliau berkata ketika ini semua 53 banduan yang positif COVID-19 itu menerima rawatan di dalam penjara dan dilaporkan dalam keadaan baik serta stabil.

Dalam pada itu, beliau berkata semua 160 kes positif baharu di Penjara Reman Pulau Pinang yang dilaporkan semalam, adalah terdiri daripada banduan dan tiada pegawai atau kakitangan penjara di situ yang positif setakat ini.

“Berlaku peningkatan ketara di penjara itu dan kami juga meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani situasi berkenaan, setakat ini fasiliti di pusat rawatan di penjara tersebut mencukupi untuk menampung banduan yang positif COVID-19.

Sehingga semalam, Pulau Pinang mempunyai dua kluster utama iaitu di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai, menjadikan kedua-duanya adalah penjara ketiga dan keempat di negara ini yang dijangkiti COVID-19, selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Setakat ini, Kluster Penjara Reman mencatat 160 kes aktif baharu semalam menjadikan jumlah kes COVID-19 positif adalah 377 dengan satu kematian, manakala Kluster Penjara Jawi pula merekodkan sebanyak 54 kes.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan