Ahad, 25 Oktober 2020

25,742

Jumlah kes

1,228

Kes baharu

16,555

Jumlah discaj

221

Jumlah kematian
7 Kes terbaharu
24 OKT 2020 (Sumber KKM)
PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU
17/10/2020 04:34 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt -- Lebih 50 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang positif COVID-19, telah mula menunjukkan perkembangan baik dan semakin sembuh daripada jangkitan itu.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di blok khas, iaitu berasingan daripada banduan-banduan positif COVID-19 yang lain di pusat rawatan dalam penjara.

“Lebih 50 banduan mula menunjukkan perkembangan positif untuk sembuh, malah mereka juga tidak lagi menunjukkan mempunyai gejala penyakit itu, jadi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) asingkan mereka di kawasan ‘green zone’ iaitu blok khas untuk rawatan seterusnya.

“Manakala banduan yang lain (positif COVID-19) masih menerima rawatan di pusat rawatan dalam penjara dan mereka juga dalam keadaan stabil sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 27 banduan yang disahkan positif COVID-19 semalam, merupakan mereka yang tinggal dalam blok yang sama dengan kumpulan pertama banduan yang dijangkiti penyakit itu sebelum ini, dan sehingga semalam seramai 217 disahkan positif dengan satu kematian dilaporkan membabitkan Kluster Penjara Reman.

Mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di Penjara Reman Pulau Pinang dan kawasan kuarters penjara itu, Mohamed Jusoh berkata  sekarang ini berjalan lancar dan tiada masalah yang timbul, termasuk daripada segi bekalan makanan.

“Semuanya berjalan lancar sekarang ini dan tidak timbul masalah kekurangan makanan di kuarters, kerana kami menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, malah saya juga mengalu-alukan pihak yang mahu menyumbang, yang boleh disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada kami,” katanya.

Sementara itu Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed berkata, semua 19 banduan yang disahkan positif COVID-19 di Penjara Seberang Perai, di Jawi dekat sini dua hari lalu dan semalam, merupakan mereka yang tinggal di blok sama dengan mereka disahkan positif sebelum ini.

Sehingga semalam seramai 28 banduan di Penjara Seberang Perai telah disahkan positif COVID-19 dan semua mereka merupakan banduan yang baru masuk ke situ, iaitu antara dua minggu hingga tiga minggu lalu.

“Semua mereka dalam keadaan stabil dan dirawat di dalam penjara, mereka merupakan  banduan-banduan baru yang dimasukkan ke situ dan tidak bercampur dengan banduan lama yang berada di blok lain. Proses ujian saringan COVID-19 masih dijalankan ke atas banduan baru, yang tinggal di blok sama dengan mereka yang positif,” katanya.

Ketika ini di Pulau Pinang terdapat dua kluster iaitu Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Jawi, dengan semua kes membabitkan banduan yang ditempatkan di dua penjara itu.

Sehingga semalam, Kluster Penjara Reman merekodkan 217 kes positif COVID-19 dengan satu kematian manakala Kluster Penjara Jawi pula mencatatkan 28 kes.

-- BERNAMA 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan