COVID-19

COVID-19: Hampir semua negeri catat kes baharu hari ini - KP Kesihatan

30/09/2020 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Hampir semua negeri mencatatkan kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas sehingga 12 tengah hari ini, dengan jumlah kes sebanyak 89.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 86 kes merupakan penularan tempatan sekali gus menjadikan jumlah kes positif ialah 11,224 dengan kebolehjangkitan 1,121 kes.

Memperincikan kes baharu tersebut, Sabah mencatat 35 kes, Kedah (13), Selangor (10), Johor (lapan), Sarawak (empat), Kuala Lumpur (tiga), Terengganu (tiga), Pahang (dua), Kelantan (dua), Perlis (dua), Negeri Sembilan (satu), Perak (satu), Pulau Pinang (satu) dan Labuan (satu). 

Bagi tiga kes import, ia melibatkan dua dari Belanda dan satu dari Indonesia, masing-masing di Kuala Lumpur.

"Daripada 86 kes tersebut (jangkitan tempatan), sebanyak 25 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept adalah sebanyak 88 kes," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kematian berkaitan COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 136 kes.

Menurutnya kes kematian ke-135 (iaitu kes ke-11,207) merupakan lelaki warganegara berumur 46 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang.

"Kes mula mengalami gejala sejak 21 Sept kemudian mengalami sesak nafas dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 28 Sept. 

“Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada 6.15 petang. Hasil saringan COVID-19 didapati positif," katanya sambil menambah bagi kes kematian ke-136 (iaitu kes ke-11,185), mangsa adalah lelaki warganegara berumur 70 tahun yang mempunyai penyakit barah peringkat akhir.

"Kes telah meninggal dunia di rumah pada 26 Sept dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau, Sabah. Hasil saringan COVID-19 didapati positif pada 29 Sept," katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat 28 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih ialah 9,967 kes manakala 16 ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan