COVID-19

KKM kesan tiga kluster baharu, dua di Sabah, satu di Kuala Lumpur

27/09/2020 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept  -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu iaitu dua di Sabah dikenali kluster Buang Sayang dan kluster Kg Sakong, sementara di Kuala Lumpur pula dikenali Kluster Setapak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Buang Sayang dikesan di Sipitang, Sabah, dengan kes indeks (kes ke-10265) mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang dari 7 hingga 20 Sept.

“Kes mula mengalami gejala demam, selesema dan sakit tekak pada 19 Sept dan kemudiannya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 20 Sept dan kes telah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.  

“Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan di mana seramai 10 individu telah disaring sehingga hari ini dengan empat kes dikesan positif, manakala enam individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kluster Kg Sakong pula dikesan di Semporna, Sabah, dengan kes indeks (kes ke-10154) dikesan positif pada 18 Sept melalui saringan komuniti. Kes adalah tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.  

Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kluster ini juga dijalankan iaitu seramai 66 individu disaring sehingga hari ini dengan sembilan kes dikesan positif, manakala 57 lagi menunggu keputusan. 

Mengenai kluster Setapak, Dr Noor Hisham berkata kes indeks (kes ke-10689) mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 17 hingga 20 Sept.

“Kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 Sept dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada 25 Sept di mana saringan COVID-19 didapati positif pada hari yang sama, seterusnya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah (iaitu kes ke-10770) dan rakan (iaitu kes ke-10771) kepada kes indeks. Mereka turut dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.  

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan dan seramai 20 individu disaring sehingga hari ini dengan tiga kes dikesan positif, 16 negatif, manakala seorang lagi masih menunggu keputusan.

Katanya, langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sedang dijalankan di semua lokasi yang telah dikenal pasti bagi ketiga-tiga kluster baharu ini.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan