COVID-19

COVID-19 : 30 sekolah di Lahad Datu ditutup sementara mulai esok

22/09/2020 09:13 PM

LAHAD DATU, 22 Sept  -- Sebanyak 30 buah sekolah di mukim bandar, kawasan Silam dan Silabukan ditutup sementara bermula esok sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin berkata langkah itu bertujuan membantu usaha Jawatankuasa Bencana Daerah serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah atas nasihat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagaimanapun, Dr Mistirine berkata lima buah sekolah menengah yang terlibat masih melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka di bilik darjah membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam.

"Saya harap para guru serta pelajar patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan kes," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh penutupan sekolah itu, PdP bagi kelas Prasekolah hingga Tingkatan Empat akan dijalankan secara dalam talian dan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) digalakkan.

Sementara itu, Mistirine berkata terdapat 13 sekolah lain ditutup lebih awal untuk tujuan proses nyahcemar, iaitu sebuah di Tawau dan masing-masing tiga di Kunak serta sembilan di Lahad Datu.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan