COVID-19

Pembiayaan PENJANA manfaatkan 2,556 PKS dengan nilai pinjaman RM639.57 juta

22/09/2020 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept -- Pembiayaan PKS PENJANA untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan oleh COVID-19 telah meluluskan 2,556 permohonan dengan nilai pinjaman RM639.57 juta sehingga 11 Sept, 2020.

Kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM2 bilion untuk skim berkenaan dan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga berkata untuk Pembiayaan Mikro Kredit Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sebanyak RM42.92 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 1,146 PKS dan PKS Mikro

“Skim Pemulihan Perniagaan Tekun atau TEKUN (TBRS) yang bertujuan membantu menyokong aliran tunai PKS Mikro untuk kekal beroperasi tanpa memberhentikan kakitangan telah menyalurkan RM71.2 juta dan telah memanfaatkan 10,649 PKS Mikro setakat 11 Sept, 2020,” kata Zafrul.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA ke-22 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA yang dikeluarkan hari ini.

Bagi memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera dalam menghadapi situasi sukar ekoran pandemik COVID-19, beliau berkata kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak RM1.85 juta daripada RM200 juta yang diperuntukkan bagi memanfaatkan lapan perniagaan milik Bumiputera setakat 11 Sept, 2020.

Ia turut memperuntukkan RM300 juta berupa  pinjaman modal kerja di bawah Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), dengan had maksimum jumlah pinjaman RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 10.98 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-Dompet mereka dengan jumlah nilai sebanyak RM548.8 juta di bawah ePENJANA.

“Penerima ePENJANA dingatkan bahawa kredit di dalam e-dompet ini perlu digunakan sebelum 30 Sept, 2020. Selepas tarikh berkenaan nilai kredit akan luput daripada akaun pengguna e-dompet tersebut,” kata beliau.

Dalam menyokong sektor seni, budaya dan hiburan, Tengku Zafrul turut maklum bahawa MyCreative Ventures and Cultural Economy Development Agency (CENDANA) di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah diwujudkan untuk memulihkan industri kreatif.

Beliau berkata semua peserta industri terlibat boleh memohon bantuan dari agensi berkaitan dan melayari www.cendana.com.my untuk maklumat lanjut. 

Menerusi laporan yang sama, Tengku Zafrul berkata Skim Subsidi Upah di bawah PENJANA telah meluluskan RM10.44 bilion subsidi upah setakat 11 Sept, 2020, memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja.

Beliau berkata Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan yang telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan, telah berjaya membantu sejumlah 33,688 pekerja, meningkat daripada 28,577 minggu lepas mendapatkan pekerjaan.

Jumlah ini merangkumi 25,752 orang di bawah umur 40 tahun, 4,324 orang bagi golongan berusia di antara 40 - 60 tahun, 256 OKU dan 3,356 perantis.

Selain itu, Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, merentasi kementerian dan agensi berkaitan berpotensi untuk melatih kemahiran baharu bagi tujuan pengekalan pekerjaan dan juga penerapan elemen keusahawanan untuk tujuan memulakan perniagaan

Dari segi memperkasakan rakyat, beliau berkata Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima sebanyak 82,935 tuntutan bernilai RM5.16 juta setakat 11 Sept, 2020.

Skim ini memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit kepada golongan B40 terutama apabila meningkat usia.

Golongan B40 boleh mendaftar dengan Skim PEKA B40 melalui pautan rasmi yang dikawal selia oleh KKM iaitu https://www.pekab40.com.my/bm. 

Menyentuh isu lain pula, Tengku Zafrul berkata bagi menggalakkan pusat asuhan kanak-kanak mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu dan pengiktirafan premis, geran secara one-off bernilai sehingga RM5,000 disalurkan kepada setiap pengendali taska dan tadika yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Setakat 11 Sept, 2020, sebanyak 11,067 buah taska telah disemak dan diluluskan dengan jumlah peruntukan RM16.42 juta.

Mengenai PENJANA GIG, beliau berkata kerajaan akan menampung caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak 70 peratus (RM163) manakala baki 30 peratus (RM69.80) lagi ditampung oleh pekerja gig atau penyedia platform yang menjadikan jumlah bayaran sebanyak RM232.80 setahun. 

“Ini akan memberikan perlindungan sehingga melebihi RM6,000 kepada pekerja ekonomi gig sekiranya ditimpa musibah semasa bekerja.

“Namun, berdasarkan maklumat daripada PERKESO, kesedaran dalam kalangan pekerja gig adalah masih di tahap yang rendah yang mana sehingga 11 Sept, 2020, hanya 0.95 peratus atau 2,847 pekerja ekonomi gig yang berdaftar dengan PERKESO daripada sasaran 300,000 pekerja,” kata beliau.

Beliau menambah kelayakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) meliputi antaranya faedah perubatan, pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul menyeru semua pihak supaya memainkan peranan dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan pekerja gig ekonomi mencarum dengan PERKESO untuk kemudahan di masa hadapan. Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan berikut: https://gig.perkeso.gov.my/

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan