COVID-19

Pelawat dari daerah tertentu di Sabah perlu jalani pemeriksaan COVID-19 lebih ketat di Labuan

20/09/2020 05:07 PM

LABUAN, 20 Sept -- Pelawat dari daerah tertentu di Sabah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan yang lebih ketat ketika memasuki Labuan berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.   

Beliau berkata bergantung kepada sejarah perjalanan mereka, pelawat yang meninggalkan Labuan lebih dari tiga hari mungkin perlu menjalani ujian swab di Lapangan Terbang Labuan dan terminal feri.

“Mereka yang pulang ke Labuan selepas berada di Lahad Datu dan Tawau sekurang-kurangnya tiga hari wajib menjalani ujian swab,” kata beliau. 

Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) normal untuk mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang mempunyai peningkatan kes COVID-19,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 Dr Ismuni juga menafikan khabar angin penduduk Labuan yang melakukan perjalanan ke luar pulau itu dalam tempoh  24 jam harus menjalani ujian swab dan kuarantin apabila kembali.

"Kami mengenakan prosedur normal, tidak perlu melakukan ujian swab jika keluar dari pulau dalam tempoh 24 jam.

Kami juga perlu melihat status kesihatan mereka dan kriteria lain sebelum melakukan saringan,” katanya.

Difahamkan terdapat peningkatan perjalanan antara Labuan dan Sabah sejak kempen pilihan raya negeri Sabah ke -16 bermula pada 12 Sept . Hari mengundi ialah pada 26 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan