Sabtu, 26 September 2020

10,789

Jumlah kes

82

Kes baharu

9,785

Jumlah discaj

133

Jumlah kematian
0 Kes terbaharu
SETAKAT 5 PM, 26 SEP 2020 (Sumber KKM)
PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU
15/09/2020 08:32 PM

PUTRAJAYA, 15 Sept -- Tindakan kesihatan awam perlu dipergiat bagi memastikan nilai R-Naught (Rt) dapat dikurangkan sehingga kurang daripada 1.0 sekali gus mengurangkan transmisi dan kebolehjangkitan COVID-19 di dalam komuniti. 

Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata nilai terkini pada 13 September adalah 1.58 dan jika diteliti nilai Rt bagi negeri Sabah pula, pada 8 September ianya adalah amat tinggi, iaitu pada nilai 3.72.

"Ini adalah lebih tinggi berbanding nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 2.63.

"Hasil tindakan kesihatan awam yang giat dijalankan telah menurunkan sedikit nilai ini bagi kedua-dua negeri dan pada 13 September, nilai Rt bagi negeri Sabah adalah 1.70, iaitu hampir dengan nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 1.58," katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 

Namun begitu katanya, nilai ini masih kekal melebihi 1.0 bagi kedua-dua negeri, dan seterusnya memberi kesan kepada nilai Rt bagi negara.

Justeru, beliau berkata tindakan dan komitmen daripada semua lapisan masyarakat adalah diperlukan  dengan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

 Beliau menasihatkan supaya masyarakat agar kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan di luar rumah, memastikan penjarakan fizikal, basuh tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta memakai pelitup muka ketika di tempat awam, terutama yang sesak dan sempit. 

Sementara itu, mengulas mengenai situasi terkini di kawasan  Perintah  Kawalan Pergerakan  Diperketatkan (PKPD) Bersasar di Kedah, Kementerian Kesihatan Malaysia mengganggarkan 15,000 individu disaring dari 10 mukim yang telah dikenal pasti berisiko tinggi yang terlibat dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga.

"Sehingga kini, sebanyak 12,885 warganegara telah disaring, iaitu 11,757 individu negatif dan 1,128 individu masih menunggu keputusan,"katanya.

Manakala bagi PKPD secara pentadbiran di tiga zon dalam Amanjaya, seramai 13,591 penduduk telah disaring sehingga hari ini yang terdiri daripada 13,526 warganegara dan 65 bukan warganegara.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan saringan, 16 kes positif dalam kalangan warganegara telah dikesan, termasuk 13 kes saringan kali kedua di Zon Melur.

Susulan itu katanya, PKPD secara pentadbiran di Zon Melur telah dilanjutkan sehingga 27 September bagi membendung penularan pandemik itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan