COVID-19

COVID-19: Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

20/08/2020 04:24 PM

TANJUNG MALIM, 20 Ogos -- Kepulangan penuntut dan kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, mungkin ditangguhkan sekiranya kes COVID-19 di kedua-dua negeri berkenaan didapati meningkat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat. 

“Pelajar akan mula masuk (daftar pada) Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) juga telah ditekankan oleh pihak kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP yang ditetapkan. 

Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (COVID-19),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak COVID-19 khususnya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya berpuas hati dengan persediaan IPTA bagi menerima kemasukan pelajar masing-masing pada Oktober depan.

"Alhamdulillah, kita mengadakan penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dengan pihak universiti dan pihak KKM sendiri pun datang meninjau keadaan universiti tersebut dalam menerima  pelajar yang akan mula mendaftar semula,” katanya.

Terdahulu, Noraini bertemu penduduk setempat pada Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman di sini hari ini, yang turut disertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan