COVID-19

COVID-19: KKM siasat mesej tular pelajar di Lembah Pantai positif

12/08/2020 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat kes seorang pelajar sekolah di Seri Pantai, Lembah Pantai di sini yang dikatakan dijangkiti COVID-19, seperti yang tular di media sosial. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan saringan demam denggi pelajar itu didapati positif dan pengesahan ujian COVID-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi.

KKM, katanya telah menerima laporan daripada sekolah terbabit mengenai satu kes bergejala melibatkan seorang pelajar dan siasatan dijalankan mengikut protokol KKM, iaitu sebarang kes dilaporkan kepada kementerian itu akan disiasat terlebih dahulu dan sekiranya perlu tindakan selanjutnya seperti pengesanan kes akan dijalankan. 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pelajar Tingkatan 5 itu telah mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos lepas.

"Pada 10 Ogos lepas beliau telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana beliau telah disaring untuk demam denggi dan juga jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan.

Setakat ini, seramai 34 orang pelajar dan lapan orang guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut dan daripada jumlah tersebut seramai 28 orang telah disaring dan 14 orang lagi telah diberi arahan untuk hadir ke Klinik Kesihatan bagi persampelan, katanya. 

Semua individu yang telah disaring diberi arahan supaya menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan, manakala proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenal pasti.

"Pemantauan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat beliau akan terus dipantau oleh pihak KKM. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," jelasnya dan menambah kes COVID-19 hanya akan dilaporkan sebagai kes positif COVID-19 selepas ia diumumkan secara rasmi oleh KKM.

Katanya laporan dari mana-mana sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM.

Justeru, masyarakat diminta supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan