COVID-19

MB Perlis perjelas langkah kerajaan negeri isytihar TEMCO

11/08/2020 05:55 PM

KANGAR, 11 Ogos -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man memberi penjelasan berhubung langkah kerajaan negeri mengisytiharkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) mendahului kerajaan Pusat.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis telah membuat perakuan kepada urus setia MKN peringkat Persekutuan terlebih dahulu supaya TEMCO dilaksana serta merta bagi membendung penularan wabak COVID-19 daripada Kluster Sivagangga.

"Saranan itu dibuat berdasarkan keadaan penularan wabak COVID-19 ketika ini dan rakyat sendiri mahu ia dilakukan segera," katanya kepada pemberita selepas istiadat Perasmian Penggal Persidangan Ketiga Dan Mesyuarat Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 di Kompleks DUN Perlis hari ini.

Kerajaan Perlis, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Ogos mengumumkan TEMCO dilaksana di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Kuala Sanglang bermula 10 malam 8 Ogos hingga 4 Sept.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan TEMCO di dua kampung itu dikuat kuasa dari 10 Ogos hingga 31 Ogos dengan beliau mengakui terdapat sedikit kekeliruan apabila kerajaan negeri umum TEMCO di lokaliti negeri mendahului kerajaan Persekutuan.

Ismail Sabri juga mengingatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah kerajaan Persekutuan dan perlu dipatuhi oleh semua kerajaan negeri kecuali negeri Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan