COVID-19

MOTAC teliti strategi terima pelancong dari destinasi zon hijau COVID-19

11/08/2020 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos-- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti strategi menerima kedatangan pelancong asing dari destinasi yang dikategorikan zon hijau COVID-19, sekiranya pintu masuk negara dibuka semula, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini berikutan pendekatan hanya menerima pelancong dari negara zon hijau sebelum ini, dilihat tidak praktikal kerana ada negara terbabit dilanda gelombang baharu wabak itu.

Bagaimanapun, katanya kementerian masih meneliti strategi itu menerusi perbincangan dan kerjasama berterusan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Luar.

"Sekarang ini, kita melihat pada destinasi yang dikategorikan sebagai zon hijau, kita juga masih meneliti kaedah ini dan ia usaha berterusan kementerian.

"Bagaimanapun perkara ini (pelancongan antarabangsa) juga tertakluk pada negara tersebut sekiranya mereka membuka ruang (kemasukan pelancong) kepada kita," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung perancangan kementerian itu bagi menerima kemasukan pelancong asing dari negara zon hijau COVID-19.

Nancy turut memberitahu Dewan Rakyat, kementerian berkenaan menawarkan beberapa program berkaitan pelancongan secara percuma bagi membantu penggiat industri itu yang terjejas akibat COVID-19.

Misalnya, kata beliau, pemandu pelancong boleh mendapatkan lesen atau perbaharui lesen mereka secara percuma bermula Mei lepas hingga November ini menerusi sembilan program.

"Sebelum ini, mereka (pemandu pelancong) perlu membayar RM50 bagi satu program dan RM150 untuk sekurang-kurangnya tiga program setahun bagi mendapatkan lesen atau perbaharuinya.

"Kini kerajaan akan biayai program ini, mereka boleh sertai semua sembilan program secara percuma," katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai bagaimana penggiat industri terlibat menerima manfaat program yang dianjurkan kementerian itu susulan impak COVID-19.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan