COVID-19

Moratorium: 10,000 pelanggan Bank Rakyat di Pulau Pinang berpotensi terjejas

10/08/2020 07:40 PM

GEORGE TOWN, 10 Ogos --  Bank Rakyat telah mengenal pasti hampir 10,000 pelanggan pembiayaannya di Pulau Pinang yang berpotensi terjejas susulan berakhirnya kemudahan moratorium pada 30 September ini.

Sehubungan itu, bank tersebut telah memulakan usaha untuk menghubungi peminjam terbabit secara berperingkat bagi menawarkan lanjutan moratorium selama tiga bulan.

"Kemudahan bantuan lanjutan yang ditawarkan ini adalah khusus untuk pelanggan yang telah diberhentikan kerja pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu serta mereka yang diarahkan bercuti tanpa gaji oleh majikan dan berlanjutan sehingga Disember 2020.

"Bantuan bersasar juga ditawarkan kepada pelanggan yang dikenakan potongan gaji oleh majikan yang mana mereka boleh diberikan pengurangan ansuran selaras dengan kadar pengurangan gaji untuk tempoh minimum selama enam bulan," kata bank itu menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Bank Rakyat turut melancarkan Kempen Pembiayaan Peribadi-i Penyatuan Hutang bermula 22 Julai lepas hingga 31 Oktober ini dengan jumlah pembiayaan sehingga RM200,000 bagi tempoh sehingga 10 tahun.

Antara manfaat yang akan diperoleh adalah penumpuan terhadap satu ansuran sahaja, kadar keuntungan serendah 2.38 peratus setahun selain peralihan daripada pembiayaan konvensional kepada Syariah.

Dalam pada itu, sebagai inisiatif mempromosikan perkhidmatan Ar-Rahnu bank itu kepada masyarakat, Bank Rakyat turut melancarkan semula Kempen Emas 2 Kilo dengan menawarkan sebanyak 28 hadiah dengan nilai keseluruhannya melebihi RM400,000 atau dua kilogram emas kepada pelanggan Pajak Gadai-i Ar-Rahnu X'Change.

"Kempen ini berlangsung dari 15 Julai hingga 15 November ini. Pelanggan boleh menghubungi talian tele-Rakyat di 1300-80-5454 atau kunjungi laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter)," demikian menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan