COVID-19

COVID-19: Enam lagi kes baharu daripada kluster Sivagangga dikesan

07/08/2020 11:58 AM

PUTRAJAYA, 6 Ogos  -- Enam daripada 15 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan dalam negara hari ini, dikesan daripada kluster Sivagangga, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kesemuanya merupakan kes generasi kedua kluster itu dengan lima daripadanya merupakan satu keluarga, yang mempunyai sejarah mengunjungi satu daripada kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, di negeri Kedah.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga tersebut, adalah masih di dalam siasatan,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan pandemik itu, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kes daripada kluster berkenaan pula mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarganya, yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

“Individu berkenaan mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos. Kes kemudiannya dikesan positif COVID-19 pada 5 Ogos 2020, dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. 

“Ahli keluarganya turut disaring untuk COVID-19 dan masih menunggu keputusan,” katanya menambah bahawa pihaknya akan meneruskan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini, dan aktiviti pengesanan kes secara aktif.

Beliau berkata sehingga hari ini, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster berkenaan, dengan 30 kes dikesan positif, 1,617 negatif, manakala 704 lagi yang mana pensampelan diambil semalam, masih menunggu keputusan.

“Ingin dimaklumkan daripada siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9,023 dari Kulim (kes yang dilaporkan pada 5 Ogos), seramai 15 kontak rapat pesakit telah dikenal pasti dan disaring. Punca jangkitan kes ini adalah masih di dalam siasatan,” katanya.

Selain enam kes daripada Kluster Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata, empat lagi kes dikesan dalam negara melibatkan dua kes dalam kalangan warganegara, dengan satu kes dikesan di Negeri Sembilan hasil saringan di tempat kerja dan satu lagi daripada saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, Labuan.

Katanya, dua lagi kes melibatkan bukan warganegara dengan satu kes dikesan di Negeri Sembilan, daripada kes saringan tahanan yang merupakan pendatang tanpa izin dan satu lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daripada kes saringan komuniti bersasar.

Selebihnya beliau berkata, lima daripada 15 kes baharu hari ini merupakan kes import, melibatkan tiga warganegara dan dua bukan warganegara dengan empat daripadanya pulang daripada Filipina melalui Sabah, dan satu dari Afrika Selatan melalui Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata, 15 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,038 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19, sebanyak 200 kes.

Menurutnya lagi, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 11 kes telah pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,713 kes atau 96.4 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes.” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan