COVID-19

COVID-19 : Singapura tingkat peraturan SHN, pelawat wajib pakai alat pemantauan elektronik

03/08/2020 02:10 PM

SINGAPURA, 3 Ogos  -- Ketika Singapura mula membuka pintu sempadan negaranya kepada pelawat antarabangsa secara berperingkat, republik berkenaan akan memperkenalkan langkah tambahan untuk meningkatkan kepatuhan terhadap peraturan notis duduk di rumah (SHN) yang bertujuan menyekat penularan COVID-19 oleh pelawat kepada komuniti setempat.

Berkuat kuasa 11 Ogos, semua pelawat yang  memasuki Singapura dan menjalani SHN di luar kemudahan khusus SHN (SDF), perlu memakai alat pemantauan elektronik sepanjang SHN untuk tempoh 14 hari.

Peraturan ini wajib dipatuhi rakyat Singapura, pemastautin tetap warga Singapura, pemegang pas jangka panjang, pemegang pas kerja dan tanggungannya.

Demikian menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) republik itu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pendidikan (MOE), dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu individu yang berumur 12 tahun ke bawah akan dikecualikan daripada syarat berkenaan,

Sejak 21 Mac lepas, semua pelawat yang masuk negara ini wajib menjalani peraturan SHN  selama 14 hari, sebaik berada di republik ini.

Pelawat boleh sama ada mematuhi regim SHN di kediaman mereka atau menjalaninya di SDF serta menjalani ujian COVID-19 di kemudahan ujian komuniti yang ditetapkan, sebelum tamat tempoh SHN mereka.

Menurut kenyataan itu, sebaik tiba di Singapura, pelawat yang menjalani SHN di kediaman mereka akan diberikan alat pemantauan elektronik di pusat pemeriksaan, selepas melalui pemeriksaan imigresen.

"Mereka perlu mengaktifkan alat pemantauan elektronik berkenaan setelah tiba di kediaman mereka," katanya.

Bagi yang gagal berbuat demikian, termasuk individu yang mengganggu atau mengeluarkan alat pemantauan elektronik selama tempoh SHN, boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan Penyakit Berjangkit  (COVID-19) Peraturan Perintah Tinggal Di Rumah) 2020.

Denda itu boleh dikenakan sehingga S$10,000 dan/atau penjara sehingga enam bulan, menurut kenyataan itu.

Bagi rakyat asing, mereka perlu maklum bahawa pihak ICA atau MOM akan mengenakan tindakan pentadbiran lanjut, seperti membatal atau memendekkan tempoh permit dan pas untuk tinggal atau bekerja di Singapura.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan