COVID-19

Saringan aktif dua hari sebabkan jumlah kes COVID-19 tinggi di Sarawak

01/08/2020 06:07 PM

KUCHING, 1 Ogos -- Jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi di Sarawak dilaporkan pada 28 Julai disebabkan aktiviti saringan secara aktif selama dua hari berturut-turut oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching di kluster-kluster di bahagian itu. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing berkata hasil aktiviti pada 26 dan 27 Julai itu, ramai orang awam dalam kalangan mereka yang dikenal pasti telah diambil swab untuk ujian dan terdapat sebilangan daripada mereka telah dikesan positif COVID-19.

"JKNS juga telah sedia maklum tentang aduan terdapatnya individu yang telah dirujuk dan dimasukkan ke hospital serta dikaitkan dengan kes positif COVID-19 tetapi tidak diambil kira sebagai kes sepertimana yang dilaporkan kepada JPBN (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri) oleh JKNS," menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong Wui Wui di media sosial semalam yang mempersoalkan jumlah kes COVID-19 yang tinggi pada 28 Julai, selain dakwaan ada kenalannya yang positif penyakit itu tidak dimasukkan dalam statistik jabatan berkenaan.

Menurut Dr Chin, mereka disyaki positif penyakit itu tidak akan dikira tetapi akan melalui proses ujian saringan ulangan terlebih dahulu bagi mendapatkan keputusan sebenar status mereka dan diasingkan daripada pesakit-pesakit lain di hospital terlebih dahulu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan