Selasa, 04 Ogos 2020

9,002

Jumlah kes

1

Kes baharu

8,684

Jumlah discaj

125

Jumlah kematian
0 Kes terbaharu
SETAKAT 5 PM, 4 OGOS 2020 (Sumber KKM)
COVID-19
01/08/2020 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Setakat semalam, seramai 3,371 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa telah ditempatkan di stesen kuarantin bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari sejak perintah itu dikuatkuasakan pada 24 Julai lepas, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka ditempatkan di 14 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

"Seramai 3,384 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam, dan daripada jumlah itu seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala bakinya ke stesen kuarantin.

"Mereka tiba dari 23 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata semalam, sebanyak 2,271 pemeriksaan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Dalam tempoh 27 Julai hingga semalam, PDRM telah mengambil tindakan terhadap enam individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah yang ditetapkan, katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 134 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, 19 individu direman, 22 dijamin manakala 93 lagi dikompaun. 

Antara kesalahan ialah aktiviti pusat urut tanpa lesen yang melibatkan 12 individu, aktiviti yang tidak mengikuti SOP (33 individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarakan fizikal (88 orang) manakala seorang melanggar perintah pengawasan (Home Surveillance Order).

"PDRM juga telah membuat pemantauan SOP Solat Jumaat di 2,294 masjid yang melibatkan 283,355 jemaah dan kesemua didapati mengikuti SOP yang ditetapkan serta mengikut saiz keluasan masjid," katanya.

Beliau berkata Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM telah membuat 54,582 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPP melibatkan 2,610 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 11,970 anggota.

Pemantauan dibuat di 3,598 pasar raya, restoran (4,937),  penjaja (1,399), kilang (1,135), bank (3,481) dan 640 pejabat kerajaan, selain 1,025 terminal pengangkutan darat, 153 terminal pengangkutan air serta 80 terminal pengangkutan udara.

PDRM juga membuat 63 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng di seluruh negara semalam dan memeriksa 30,719 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus, katanya. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan