COVID-19

Lebih 3,200 ditahan dalam Op Benteng - Ismail Sabri

29/07/2020 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai -- Lebih 3,200 termasuk 2,491 migran ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) dari 1 Mei hingga semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata turut ditahan dalam tempoh itu ialah 596 tekong serta 144 penyeludup selain mengusir  257 pendatang tanpa izin, sembilan tekong dan 37 bot yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.

“Sebanyak 96 bot dan 257 kenderaan turut ditahan. Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 62 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 28,589 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ismail Sabri berkata PDRM juga melakukan 1,755 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing semalam. 

Katanya seramai 2,174 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 24 Julai hingga semalam dan mereka ditempatkan di 13 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak dan Johor.

“Daripada jumlah itu, seramai tujuh individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya. 

Semalam, Ismail Sabri dalam kenyataannya berkata anggaran kos bagi setiap individu yang dikuarantin wajib di stesen kuarantin ialah RM4,700 dan rakyat tempatan perlu membayar maksimum RM2,100 (44.7 peratus) untuk caj bilik hotel dan makan tiga kali sehari manakala kos selebihnya ditanggung kerajaan. 

Sementara itu, PDRM menahan 238 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, dan daripada jumlah itu, 42 individu direman manakala seorang lagi dijamin dan 196 individu dikenakan kompaun.

Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 64,687 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), katanya.

Mengenai pemeriksaan tapak pembinaan, sebanyak 28 tapak diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam dan mendapati 24 patuh SOP.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan