COVID-19

MAH P.Pinang sokong saranan tingkat had pelepasan cukai pendapatan

25/07/2020 06:23 PM

GEORGE TOWN, 25 Julai -- Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang menyokong penuh saranan kerajaan negeri agar kerajaan pusat meningkatkan had pelepasan cukai pendapatan bagi perbelanjaan berkaitan pelancongan domestik yang ketika ini ditetapkan pada RM1,000.

Pengerusinya Khoo Boo Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah meningkatkan had itu akan menggalakkan lebih ramai orang berbelanja, sekali gus menambah pendapatan pengusaha dalam sektor ekonomi pelancongan selepas menerima kesan hebat pandemik COVID-19.

“Kadar penginapan bagi hotel merudum semasa pandemik, dan inisiatif kerajaan amat penting bagi memastikan pengusaha pelancongan terus hidup.

“Sekiranya rakyat Malaysia boleh meraih pendapatan yang lebih menerusi pelepasan cukai pendapatan, ia juga akan menggalakkan mereka berbelanja lebih. Ini akan memberi manfaat kepada ekonomi negara di samping pemulihan industri keseluruhannya.” katanya.

Semalam Exco Pelancongan, Seni, Budaya, dan Warisan Pulau Pinang Yeoh Soon Hin, berkata beliau telah membuat saranan itu kepada Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan