COVID-19

Permulaan sesi sekolah Tahun 1-4 lancar, ibu bapa pandang serius SOP

22/07/2020 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai -- Murid Tahun 1 hingga Tahun 4 mula menyambung sesi persekolahan mereka yang tertangguh kira-kira empat bulan akibat penularan wabak COVID-19 hari ini dan rata-rata ibu bapa dilihat menitikberatkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika sibuk menguruskan anak masing-masing ke sekolah.

Tinjauan Bernama mendapati ibu bapa memang gembira kerana anak-anak mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah, namun pada masa sama masih ada perasaan bimbang dan khuatir mengenai keselamatan anak-anak mereka daripada ancaman COVID-19. 

Perdip Singh, 42, yang menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak awal pagi tadi berkata segala persiapan sekolah diatur seminggu awal dan dilakukan dengan teliti bermula dari rumah hingga ke pintu sekolah. 

"Isnin baru-baru ini, sekolah ini ada kongsikan link video menerangkan SOP persekitaran sekolah dan kelas pelajar serta laluan yang sudah ditanda, saya dan anak menonton video berkenaan. Untuk itu, saya sentiasa nasihat anak supaya patuh SOP di mana sahaja dia berada. 

"Sebelum bergerak dari rumah hari ini, saya pastikan dia dalam keadaan sihat dan bersedia untuk meneruskan fokus belajar di sekolah. Saya bekalkan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman serta tentunya memberi bekal makanan dari rumah," katanya. 

Sependapat dengan Perdip, Nur Hidayah Abdul Majid, 38, yang mempunyai anak yang bersekolah di sekolah sama berkata dia akan meneruskan rutinnya menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah, demi keselamatan anaknya itu.

"Sebelum ini, saya memang menghantar dan mengambil anak di sekolah. Rutin ini akan saya teruskan tetapi ditambah dengan 'extra cautious' iaitu saya akan tiba lebih awal di sekolah untuk pastikan anak patuh SOP dan benar-benar selamat. COVID-19 ini bukan suatu perkara yang boleh kita main-main," katanya.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim yang melawat Sekolah Kebangsaan Putrajaya 9 (1)  pada pukul 7.30 pagi berpuas hati dengan pengendalian tatacara kehadiran dan proses pembelajaran di sekolah berkenaan dalam suasana kebiasaan baharu.

Guru Besar sekolah berkenaan, Norzah Mohd Kassim yang mengiringi lawatan Dr Habibah berkata pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan menyediakan kod bar untuk setiap murid bagi tujuan mencatatkan kehadiran dan suhu badan mereka.

Di Kelantan, seorang ibu bapa Norizan Abdullah, 44, ketika ditemui di Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A’ishah Puteri, berkata, beliau berpuas hati dengan SOP yang diamalkan pihak sekolah dan tidak bimbang untuk menghantar anaknya ke sekolah.

“Sebelum ini apabila mengetahui pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid tahun satu hingga empat akan dilaksanakan, saya sedikit bimbang memikirkan keselamatan anak, namun apabila mengetahui pihak sekolah telah melakukan persediaan rapi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, saya mampu menarik nafas lega,” katanya.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani ketika membuat tinjauan ke Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Terengganu berkata 84,114 pelajar Tahun Satu hingga Tahun Empat di 352 sekolah rendah seluruh negeri itu, selain 1,070 murid di empat sekolah swasta, memulakan persekolahan hari ini.

"Keseluruhannya, tinjauan saya ke beberapa sekolah pagi ini mendapati pematuhan SOP adalah sangat baik. Cuma berlaku sedikit kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan sekolah kerana masih ramai ibu bapa yang menunggu anak mereka masuk ke dalam kelas. Kita berharap ini hanya berlaku pada hari pertama sekolah pagi ini sahaja," katanya.

Di Kedah pula, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Datuk Najmi Ahmad berkata seramai 122,902 pelajar Tahun Satu hingga Empat memulakan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing hari ini. 

"Secara keseluruhan 186,401 pelajar Tahun Satu hingga Enam di Kedah telah kembali ke sekolah selepas lebih empat bulan sekolah ditutup berikutan pandemik COVID-19,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra (SKTARP), Padang Terap.

Pengarah Pendidikan Negeri negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali pula berkata seramai 130,713 pelajar Tahun Satu hingga Empat di negeri itu memulakan sesi persekolahan mereka hari ini.

 Di Negeri Sembilan Pengarah Pendidikan Negeri, Md Fiah Md Jamin pula berkata perjalanan permulaan sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dengan pelajar mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan guru-guru juga banyak memberikan kerjasama sepanjang sesi persekolahan.

Seramai 69,734 orang pelajar Tahun Satu hingga Empat yang melibatkan 352 sekolah, memulakan sesi persekolahan pada hari ini, katanya selepas mengadakan lawatan ke sekolah murid Orang Asli di SK Tekir, Labu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail berkata sebanyak 357,166 pelajar Tahun Satu hingga Empat kembali memulakan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing hari ini melibatkan 17,429 kelas di 662 buah sekolah kebangsaan.

Di Perlis Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Roziena Ahmad berkata secara keseluruhan 23,739 orang murid dari Tahun 1 hingga 6 di Perlis telah kembali ke sekolah setelah ianya ditutup berikutan pendemik COVID-19 dan daripada jumlah itu, 15,492 adalah pelajar Tahun Satu hingga Empat.

Pengarah Pendidikan negeri Pahang Zaimi Abu Bakar ketika meninjau beberapa buah sekolah di Kuantan pula berkata pematuhan SOP di sekolah-sekolah yang dilawatinya dilaksanakan dengan baik terutama dalam aspek penjarakan sosial.

Katanya seramai 100,445 pelajar kelas pendidikan khas serta Tahun Satu hingga Empat di 542 sekolah rendah di Pahang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Di Melaka, seramai 57,328 murid Tahun Satu hingga Empat memulakan sesi persekolahan hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad.

"Keseluruhan 145,918 murid dan pelajar sekolah di seluruh negeri Melaka telah memulakan sesi persekolahan," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan dan Pengurusan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Johor Shaharuddin Saari berkata secara keseluruhannya 575,144 orang pelajar di 1,187 buah sekolah menengah dan rendah menghadiri sesi persekolahan hari ini.

"Operasi persekolahan dilakukan dengan mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP)  menangani wabak Covid-19 dan setakat ini semua sekolah dapat menyediakan kelas secukupnya bagi kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan.

Di Pulau Pinang, semua 272 sekolah rendah dan 127 sekolah menengah kini kembali beroperasi penuh selepas 85,516 murid antara Tahun Satu dan Tahun Empat kembali ke sekolah hari ini, kata pengarah pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad.

Menurutnya di setiap sekolah, seorang pegawai ditugaskan melaksanakan pemeriksaan mengejut secara rawak di sekolah berkenaan, katanya ketika ditemui selepas melawat Methodist Girls’ School di sini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan