COVID-19

COVID-19: Dianggarkan 20,000 pelajar Malaysia masih terkandas di luar negara

18/07/2020 01:04 PM

KOTA BHARU, 18 Julai -- Dianggarkan 20,000 pelajar Malaysia masih terkandas di luar negara dan tidak dapat pulang ke tanah air berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata kerajaan sedang meneliti secara halus apakah langkah yang boleh diambil bagi membawa pulang kesemua pelajar berkenaan secara berperingkat-peringkat.

"Contohnya pelajar yang telah tamat kursus pengajian, kita tak mahu lengah-lengahkan bawa pulang mereka dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan pastikan mereka dibawa pulang dan dibayar belanjanya oleh penaja yang menaja pelajar.

"Kerajaan juga telah menyediakan satu peruntukan, tak banyak tapi cukup untuk bawa pulang pelajar Malaysia yang masih lagi terkandas di luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang) yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan 12 pegawai APM menerima Anugerah Penkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan 14 orang menerima watikah pelantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata ada beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang misi membawa pulang pelajar yang terperangkap di luar negara dilakukan kerajaan.

Beliau berkata antaranya ia melibatkan undang-undang berbeza yang dikenakan oleh setiap negara yang pelajar Malaysia sedang meneruskan pengajian.

"Contohnya sama ada negara berkenaan membenarkan penerbangan masuk atau keluar. Contohnya kita juga semalam berbincang di Amerika Syarikat (AS) penularan nampaknya meningkat, kita bimbang dan kita nak ambil kesempatan ruang angkasa Amerika Syarikat yang masih terbuka ketika ini.

"Sama ada kita ada penerbangan terus dari Amerika Syarikat ke Malaysia atau ada syarikat penerbangan lain yang boleh bawa pulang pelajar ke Malaysia. Kita kena perhalusi keadaan sebegitu sebelum buat keputusan yang melibatkan kewangan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan