COVID-19

COVID-19 dorong pendigitalan industri logistik bagi memenuhi permintaan

15/07/2020 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Pandemik COVID-19 telah mendorong industri logistik untuk menilai semula dan menyusun semula strategi operasi mereka ke arah pendigitalan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata langkah itu telah meningkatkan produktiviti dan aliran perniagaan, yang menjadi asas kepada kemampanan perniagaan.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri logistik -- terutamanya perkhidmatan e-dagang dan e-penunaian -- dinyatakan sebagai perkhidmatan penting dan dibenarkan beroperasi.

MIDA berkata ini merupakan langkah penting berikutan pengguna telah beralih kepada platform dalam talian untuk membeli-belah semasa PKP.

Barangan, terutamanya penghantaran makanan dan barangan runcit, mendapat permintaan tinggi.

“Ini mewujudkan banyak peluang perniagaan, dan sebahagian perniagaan menyesuaikan dengan segera mendigitalkan operasi mereka untuk memanfaatkan persekitaran perniagaan baharu,” menurut agensi itu dalam Buletin Jun yang dikeluarkan hari ini.

Agensi itu berkata antara syarikat perkhidmatan kurier Malaysia, GD Express Sdn Bhd (GDEX) menjadi contoh yang baik bagaimana penggiat industri telah beralih kepada pendigitalan untuk menghadapi iklim perniagaan semasa. 

MIDA berkata sebelum PKP, syarikat telah melaksanakan teknologi seperti Antaramuka Pengaturcaraan Aplikasi untuk pelanggannya yang lebih celik teknologi seperti Lazada.

Bagaimanapun, dengan sekatan pergerakan dan garis panduan bekerja dari rumah dilaksanakan, GDEX memperkenalkan program yang menggalakkan lebih ramai pelanggannya, terutamanya mereka yang beroperasi secara tradisional, untuk menggunakan platform digital sebagai sebahagian daripada model perniagaan mereka untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan.

Pada April 2020, jumlah penghantaran barangan GDEX telah meningkat tujuh kali ganda, dan jumlah itu meningkat lagi pada Mei.

Berdasarkan peranan teknologi yang penting semasa pandemik, MIDA berkata syarikat logistik perlu menyedari mengenai kepentingan kemajuan dan penggunaan teknologi.

“Ini sejajar dengan permintaan yang meningkat untuk lebih banyak perkhidmatan, penghantaran yang lebih cepat dan murah, serta perdagangan global yang tidak menentu,” katanya.

MIDA juga berkata negara perlu memastikan pihak berkepentingan industri berada di barisan hadapan untuk penggunaan teknologi ke arah pemulihan yang kukuh.

Bagi menyediakan penyedia perkhidmatan logistik tempatan kepada peralihan ke arah teknologi Revolusi Perindustrian Keempat seperti Internet of Things, Data Raya dan pendigitalan, MIDA memperkenalkan pelbagai inisiatif pemudahan, termasuk geran.

Selain itu, pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek negara meletakkan asas untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mengekalkan pekerjaan dan memberi pelabur -- terutamanya yang berada dalam industri logistik -- keyakinan untuk terus melabur di negara ini, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan