COVID-19

Pemuda BN tubuh pasukan khas tangani isu belia

15/07/2020 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan satu pasukan khas dalam masa terdekat, sebagai perantara untuk memberi cadangan kepada kerajaan berhubung usaha menyelesaikan isu berkaitan golongan belia, pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penubuhan pasukan khas itu bertujuan memberi cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12, dengan fokus utama diberikan kepada skim jaminan pekerjaan melalui pelbagai inisiatif dan inovasi sosial.

Sehubungan itu katanya Pemuda BN akan mula bergerak ke seluruh negara bermula minggu hadapan untuk bertemu dengan pelbagai kelompok anak muda seperti persatuan belia dan badan bukan kerajaan (NGO), bagi mendapatkan maklum balas mereka.

"Selepas itu, kita akan memperincikan segala cadangan yang kita fikir perlu (dimaklumkan kepada kerajaan) dalam memperkasa ekonomi anak muda,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda BN di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting, Ketua Pemuda MIC R. Thinalan dan Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan.

Ditanya pendirian Pemuda BN mengenai isu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dipersenda sebagai 'cucu' dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Asyraf Wajdi berkata persidangan itu sepatutnya dijadikan platform perbahasan yang beradab, bukan sebaliknya. 

"Kita tidak pernah menghalalkan atau merelakan Parlimen dijadikan pentas untuk saling maki-memaki tanpa adab dan akhlak. Parlimen adalah dewan yang mulia, di mana tempat untuk berbahas berdasarkan fakta bukan auta," katanya.

Isu Syed Saddiq digelar 'cucu' oleh Ahli Parlimen yang lebih senior daripada beliau ketika persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lepas menjadi bualan hangat di laman media sosial dengan kebanyakan pengguna media sosial berpendapat tidak wajar bekas Menteri Belia dan Sukan itu diperlakukan sebegitu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan