COVID-19

Malaysia, Singapura sepakat laksana laluan hijau timbal balik, pengaturan ulang alik berkala

14/07/2020 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai -- Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan  Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan  Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA), dengan tarikh pelaksanaan yang disasarkan pada 10 Ogos 2020, untuk memenuhi keperluan penduduk kedua-dua negara, membabitkan perjalanan rentas sempadan. 

Perkara itu diumumkan hari ini dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr. Vivian Balakrishnan.

Menurut kenyataan itu, mereka yang melakukan perjalanan perlu memenuhi syarat kedua-dua skim, mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19, yang disepakati kedua-dua negara, termasuk menjalani ujian swab tindak balas rantai polimerase (PCR).

RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan rasmi dan perniagaan penting antara kedua-dua negara.

"Mereka yang melakukan perjalanan juga perlu menyerahkan kepada pihak berwajib kedua-dua negara mengenai jadual perjalanan dan mematuhinya sepanjang tempoh lawatan mereka," jelas kenyataan itu. 

Sementara itu, PCA membolehkan rakyat Singapura dan Malaysia, yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan bekerja, memasuki negara itu. 

"Setelah sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut di negara tempat mereka bekerja, mereka boleh balik ke negara asal untuk tujuan cuti pendek, dan kemudian masuk semula ke negara tempat mereka bekerja untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi," tambah kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu lagi kerajaan Malaysia dan Singapura juga sepakat untuk mengeluarkan syarat, protokol kesihatan dan proses permohonan melibatkan keluar dan masuk ke kedua-dua negara, 10 hari sebelum pelaksanaan RGL dan PCA.

Kedua-dua menteri itu berkata, pegawai di Malaysia dan Singapura sedang bertungkus lumus ke arah pelaksanaan RGL dan PCA yang disasarkan pada 10 Ogos.

"Ini akan memberi peluang kepada agensi berkaitan di kedua-dua negara untuk terus berunding bagi memuktamadkan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) kedua-dua inisiatif itu," kata mereka.

Malaysia dan Singapura juga setuju membangunkan skim lain yang sesuai untuk perjalanan rentas sempadan, termasuk cadangan perjalanan ulang-alik setiap hari atas urusan kerja penduduk kedua-dua negara, dengan mengambil kira protokol kesihatan diperlukan dan sumber perubatan tersedia demi keselamatan rakyat. 

Selain itu, ia juga membolehkan kedua-dua pihak mengembalikan semula interaksi rentas sempadan dan pertukaran ekonomi secara progresif. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan